Penantian para peminat akhirnya berakhir! Trailer rasmi filem yang ditunggu tunggu, Coolie, kini telah dilancarkan dan ia ternyata tidak mengecewakan. Superstar Rajinikanth kembali mempamerkan aura ganasnya yang menggerunkan, membangkitkan nostalgia watak ikoniknya dalam filem Baasha suatu ketika dahulu.
Dalam trailer ini, Rajinikanth yang membawakan watak Deva, tampil dengan gaya yang bengis dan tidak berhati perut. Beliau digambarkan bakal terlibat dalam pertarungan sengit menentang watak antagonis utama bernama Simon, yang dilakonkan dengan cukup bergaya oleh bintang dari selatan, Nagarjuna Akkineni. Pertembungan dua gergasi ini pastinya menjadi tarikan utama filem arahan Lokesh Kanagaraj ini.
Apa yang menambah debaran adalah kemunculan istimewa superstar Bollywood, Aamir Khan. Walaupun wataknya masih dirahsiakan, bayangan ringkas yang diberikan dalam trailer sudah cukup untuk mencetuskan pelbagai teori peminat. Ramai yang menjangkakan beliau akan memegang peranan sebagai ketua sindiket jenayah terbesar, dalang di sebalik semua kekacauan yang berlaku.
TONTON TRAILER
Lokesh Kanagaraj nampaknya tidak hanya menyajikan sebuah filem aksi gangster biasa. Berdasarkan paparan dalam trailer, Coolie menyuntik elemen yang lebih kompleks seperti penyeludupan dan peperangan menggunakan senjata bio. Ini memberi isyarat bahawa filem ini mungkin sebuah karya yang menggabungkan genre aksi dengan fiksyen sains, satu kelainan yang pastinya menyegarkan. Malah, sebagai hadiah istimewa buat peminat setia Rajinikanth, Lokesh turut menyelitkan beberapa rujukan kepada filem lagenda seperti Thalapathi dan Baasha.
Coolie bukan sahaja gah dengan barisan pelakon utamanya, tetapi turut disokong oleh nama nama besar lain. Antaranya ialah Upendra Rao, Shruti Haasan, Sathyaraj, Soubin Shahir, Charle, Reba Monica John, dan Pooja Hegde yang membuat penampilan khas dalam sebuah lagu. Gabungan pelakon hebat ini pastinya akan memberikan persembahan yang mantap di layar perak.
Filem ini dijadualkan untuk menemui penonton di pawagam pada 14 Ogos 2025. Tarikh ini bakal menyaksikan pertembungan box office yang hebat kerana filem War 2, yang dibintangi oleh Hrithik Roshan dan Jr NTR, juga akan ditayangkan pada hari yang sama. Dari segi muzik pula, runut bunyi penuh filem ini yang digubah oleh komposer sensasi Anirudh Ravichander telah pun dilancarkan pada 2 Ogos 2025 dan kini tersedia di semua platform penstriman muzik.
Selepas Coolie, perjalanan seni Rajinikanth akan diteruskan dengan projek seterusnya iaitu Jailer 2. Beliau akan kembali bekerjasama dengan pengarah Nelson Dilipkumar untuk sekuel filem blockbuster 2023 itu, sekali lagi membawa watak ‘Tiger’ Muthuvel Pandian yang sangat digemari ramai.