Akhirnya, penantian yang terasa lama tu berakhir apabila trailer rasmi filem Thug Life ditayangkan kepada umum. Bukan sekadar dalam versi Tamil atau Telugu, tapi versi Hindi pun dilepaskan tepat pada waktunya. Benda ni memang jarang berlaku, jadi bagi peminat yang dah lama tunggu, ini satu kejutan manis. Termasuklah aku sendiri yang dari tengah hari dah ulang alik buka YouTube dan scroll media sosial.
Nak kata excited tu memang tak boleh dinafikan. Tambahan pula ini bukan sebarang filem. Ini filem gabungan semula antara Kamal Haasan dan pengarah hebat Mani Ratnam selepas lebih 35 tahun. Bayangkan dua nama besar dalam dunia perfileman India bersatu semula. Rasa macam mimpi jadi kenyataan. Lagi pula, sejak kejayaan Vikram, ramai peminat mula kenal dan minat versi ‘Kamal Haasan 2.0’ yang penuh karisma dan aura luar biasa. Dan dari trailer ni, nampak jelas Thug Life bakal beri lebih lagi dari apa kita dapat dalam Vikram.
Kalau tengok gaya persembahan dalam trailer, kita dah boleh agak filem ni bukan sekadar tentang aksi kosong. Ia tentang kuasa, kesetiaan, pengkhianatan dan perjuangan untuk mempertahankan prinsip. Kamal Haasan yang memegang watak Rangaraaya Sakthivel Naicker nampak betul-betul mendominasi. Dengan gaya yang tenang tapi garang, dia muncul sebagai figura besar yang sangat berpengaruh.
Silambarasan pula nampak memainkan peranan yang cukup penting sebagai Amar. Walaupun hubungan mereka dalam cerita ni bukan ayah dan anak kandung, tapi dari cara mereka berinteraksi, nampak macam hubungan yang sangat rapat dan penuh sejarah. Sayangnya, kuasa boleh mengubah segalanya. Bila Rangaraaya mula mempercayai Amar dan menyerahkan sebahagian empayar kepadanya, konflik mula timbul. Amar mula berubah dan apa yang dulunya hubungan rapat, bertukar jadi permusuhan.
Apa yang buat trailer ni menarik adalah cara ia disusun untuk timbulkan tanda tanya. Kenapa Amar lawan Rangaraaya? Adakah Amar sebenarnya ada agenda tersembunyi? Atau ada musuh ketiga yang manipulasi keadaan? Soalan-soalan ni semua buat kita tak sabar tunggu filem penuh.
Secara visual, Thug Life memang nampak gah. Sinematografi yang kaya dengan ton warna dramatik, kesan khas yang kemas dan reka bentuk produksi yang sangat meyakinkan. Nampak jelas filem ni dibina untuk pengalaman pawagam, bukan sekadar tontonan biasa. Walaupun Kamal Haasan dah berusia, koreografi aksinya tak nampak dibuat-buat. Masih meyakinkan dan kena dengan suasana.
Trisha Krishnan, Mahesh Manjrekar dan barisan pelakon lain mungkin tak banyak masa dalam trailer, tapi kehadiran mereka tetap memberi warna kepada naratif. Dan bila kita sebut tentang Mani Ratnam, memang tak sah kalau tak sebut muzik. AR Rahman kali ni kembali dengan sentuhan magisnya, dan lagu latar yang digunakan dalam trailer cukup kuat untuk hidupkan babak demi babak. Lagi best, Kamal sendiri buat suara dubbing untuk versi Hindi, jadi feel tu lebih real.
Secara keseluruhan, Thug Life bukan sekadar filem aksi. Ia ada elemen emosi yang mendalam, ada konflik jiwa, dan ada perjuangan antara dua individu yang pernah saling percaya. Trailer ni buat kita rasa teruja, gembira dan dalam masa sama, sedikit sebak tengok hubungan yang retak akibat tamak dan kuasa.
Kalau Vikram ibarat pembuka selera, Thug Life nampaknya sajian penuh yang ditunggu-tunggu. Dan dari apa yang kita lihat sekarang, Kamal Haasan memang belum habis lagi. Sebaliknya, dia baru saja mula.
TONTON TRAILER






