Khabar mengejutkan datang dari produksi filem mega Kalki 2898 AD apabila pelakon Deepika Padukone secara rasminya tidak akan lagi membintangi filem sekuel tersebut. Pihak penerbit telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini dengan alasan wujudnya isu komitmen dari pihak Deepika.
Namun, menurut sumber dalaman, punca sebenar pengguguran Deepika adalah disebabkan oleh beberapa tuntutan yang dianggap berlebihan. Deepika dikatakan meminta kenaikan bayaran sebanyak 25 peratus berbanding bayarannya untuk filem pertama selain meletakkan syarat untuk bekerja hanya selama 7 jam sehari.
Syarat waktu bekerja yang singkat itu dilihat akan menyukarkan proses penggambaran, lebih lebih lagi Kalki 2898 AD merupakan sebuah filem yang banyak menggunakan kesan visual (VFX) dan memerlukan masa yang panjang. Pihak penerbit cuba berunding dengan menawarkan kemudahan lain tetapi Deepika tetap berkeras dengan keputusannya.
Bukan itu sahaja, tuntutan Deepika turut melibatkan kos penginapan hotel lima bintang dan makanan untuk krunya yang berjumlah hampir 25 orang. Permintaan ini dikatakan membebankan pihak produksi dan selepas perbincangan gagal mencapai kata sepakat, mereka terpaksa melepaskan Deepika.
Pihak produksi menegaskan bahawa untuk filem berskala besar, kerjasama dan fleksibiliti dari semua pihak amatlah penting bagi memastikan kelancaran projek. Kini, mereka sedang dalam proses mencari pengganti Deepika dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi.