Baru sahaja peminat seronok dapat menonton filem terbaru Ajith Kumar, Good Bad Ugly di Netflix, tiba tiba filem itu didapati telah hilang dari platform penstriman tersebut. Sejak 17 September lalu, ramai yang perasan filem arahan Adhik Ravichandran ini sudah tidak boleh diakses lagi.
Rupa-rupanya, penarikan balik filem ini adalah disebabkan isu hak cipta yang melibatkan komposer legenda, Ilaiyaraaja. Pihak produksi didakwa telah menggunakan tiga buah lagu popular ciptaan beliau tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Menurut laporan, Ilaiyaraaja telah memfailkan saman terhadap syarikat produksi Mythri Movie Makers pada bulan April lalu. Beliau menuntut pampasan sebanyak 5 crore Rupee kerana menggunakan lagu lagunya tanpa lesen yang sah.
Berikutan itu, mahkamah telah mengeluarkan arahan kepada pihak produksi untuk membuang ketiga tiga lagu tersebut daripada filem jika mahu ia terus ditayangkan secara strim. Inilah yang dipercayai menjadi punca utama Netflix terpaksa menarik balik filem tersebut buat sementara waktu untuk proses suntingan semula.
Walaupun berdepan dengan isu ini, filem Good Bad Ugly sebenarnya mendapat sambutan yang cukup baik di pawagam. Filem ini berjaya mengutip kutipan box office sebanyak 248 crore Rupee di seluruh dunia. Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada pihak Netflix mengenai perkara ini.