Sebelum namanya meledak sebagai antara bintang paling dikenali di seluruh India, ramai yang mungkin tidak mengetahui sisi peribadi pelakon jelita, Rashmika Mandanna. Di sebalik senyumannya yang menawan dan kejayaannya hari ini, tersimpan sebuah kisah pertunangan yang pernah menjadi tajuk utama suatu ketika dahulu.
Bagi peminat yang baru sahaja mengikuti perkembangannya, mungkin akan terkejut apabila mengetahui bahawa Rashmika pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang aktor dari industri filem Kannada, Rakshit Shetty.
Kisah cinta mereka mula berputik di lokasi penggambaran filem sulung Rashmika, Kirik Party pada tahun 2016. Hubungan yang terjalin sebagai rakan gandingan di layar perak akhirnya membawa ke dunia nyata. Setahun kemudian, iaitu pada 3 Julai 2017, pasangan ini mengambil keputusan untuk melangkah ke fasa yang lebih serius dengan melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup di kampung halaman Rashmika di Virajpet.
Ketika itu, pelakon yang terkenal dengan filem Pushpa ini baru sahaja berusia 21 tahun dan sedang membina langkah pertamanya dalam dunia sinema. Rashmika, yang dilahirkan pada 5 April 1996, berkata ‘ya’ kepada lamaran Rakshit Shetty, yang dilahirkan pada 6 Jun 1983. Perbezaan usia 13 tahun tidak menghalang cinta mereka untuk bersemi pada waktu itu.
Walaupun pada mulanya semuanya kelihatan indah, jodoh mereka tidak berpanjangan. Pada bulan September 2018, Rashmika dan Rakshit mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan hubungan dan membatalkan pertunangan. Keputusan itu dibuat atas alasan masalah keserasian yang tidak dapat diatasi lagi.
Beberapa tahun selepas perpisahan itu, nama Rashmika Mandanna kini hangat digosipkan sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon terkenal, Vijay Deverakonda. Keserasian mereka jelas terpancar apabila bergandingan dalam filem popular seperti Geetha Govindam dan Dear Comrade, yang dikatakan menjadi titik mula perasaan cinta antara mereka.
Meskipun sehingga kini kedua duanya masih belum mengesahkan hubungan mereka secara rasmi, Rashmika dan Vijay sering dilihat menghabiskan masa bersama, dari percutian ulang tahun sehinggalah keluar makan malam, sekaligus menguatkan lagi spekulasi dalam kalangan peminat.
Dari sudut perkembangan kerjaya, Rashmika Mandanna terus mengukuhkan namanya sebagai pelakon serba boleh. Filem terbaharunya yang dinanti nantikan adalah Kuberaa, sebuah drama jenayah yang turut dibintangi oleh nama nama besar seperti Dhanush dan Nagarjuna Akkineni.
Melangkah ke hadapan, jadual kerjanya padat dengan beberapa projek besar. Dia bakal muncul dalam filem berjudul The Girlfriend dan sebuah filem bersama Ayushmann Khurrana yang dikenali sebagai Thama. Selain itu, Rashmika juga dilaporkan bakal terlibat dalam projek mega arahan Atlee bersama Allu Arjun, yang buat masa ini diberi kod nama AA22xA6. Khabarnya, dalam filem tersebut, dia bakal membawa watak antagonis buat julung kalinya, bergandingan dengan Deepika Padukone dan Mrunal Thakur.