Filem epik Aadujeevitham: The Goat Life yang mendapat pujian melambung daripada penonton dan pengkritik telah menjadi bualan hangat apabila tidak tersenarai sebagai pemenang di Anugerah Filem Kebangsaan ke-71 baru baru ini. Ramai peminat menjangkakan pelakon utamanya, Prithviraj Sukumaran, bakal menjadi calon utama untuk anugerah pelakon terbaik. Namun, bintang versatile itu memberikan reaksi yang cukup matang dan tenang mengenai perkara tersebut.
Bagi Prithviraj, yang merupakan antara nama besar dalam industri perfileman India, kejayaan sesebuah filem tidak diukur pada trofi yang dimenangi. Beliau yang telah membintangi pelbagai filem dalam bahasa Malayalam, Tamil, Telugu, dan Hindi, menganggap penerimaan penonton adalah kepuasan tertinggi buatnya sebagai seorang anak seni. Lakonan hebatnya dalam Aadujeevitham sebagai Najeeb Muhammed sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang menontonnya.
Dalam satu wawancara bersama Mid-Day baru baru ini, apabila ditanya mengenai jangkaan ramai peminat yang melihatnya sebagai calon pilihan untuk Anugerah Kebangsaan, Prithviraj memberikan jawapan yang padu. Menurutnya, beliau sudah pun berpuas hati dengan apa yang telah dicapai oleh filem survival thriller itu. Anugerah bukanlah matlamat akhir dalam kamus seninya.
“Saya mahu filem itu berjaya. Saya mahu orang ramai menyukai lakonan saya, dan yang paling penting, saya mahu dunia tahu tentang kisah lelaki itu. Ketiga tiga perkara itu telahpun tercapai. Tiada apa lagi yang saya inginkan daripada filem ini,” jelas pelakon yang baru sahaja muncul dalam filem Sarzameen itu.
Dengan tenang beliau menambah, “Jika saya mendapat Anugerah Kebangsaan, ia sesuatu yang hebat; jika tidak, tahniah saya ucapkan kepada sesiapa sahaja yang memenanginya.”
Persoalan pastinya timbul, mengapa sebuah karya yang dianggap hebat ini terlepas pandang oleh barisan juri? Menurut laporan, keputusan untuk tidak menyenaraikan Aadujeevitham telah menerima kritikan hebat. Salah seorang ahli juri Anugerah Kebangsaan, Pradeep Nair, mendedahkan bahawa pengerusi juri, Ashutosh Gowariker, bersama ahli juri yang lain berpendapat bahawa filem adaptasi itu “kurang semula jadi” dan persembahan lakonan yang ditonjolkan “tidak tulen”.
Untuk yang belum tahu, Aadujeevitham: The Goat Life adalah sebuah filem biografi yang diadaptasi daripada novel Malayalam popular tahun 2008 dengan judul yang sama karya Benyamin. Diarahkan oleh Blessy, filem ini mengisahkan tentang penderitaan seorang pekerja migran dari Kerala bernama Najeeb Muhammed yang terperangkap dalam kehidupan sebagai pengembala kambing di padang pasir Arab Saudi. Filem ini berjaya menempatkan dirinya dalam senarai 10 filem Malayalam dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, berada di kedudukan keempat selepas Empuraan, Manjummel Boys, dan 2018.
Kini, Prithviraj Sukumaran sedang bersiap sedia untuk filem Malayalam seterusnya yang berjudul Vilayath Buddha, yang dijangka akan menemui penonton pada tahun ini. Selain itu, beliau juga disahkan bakal menjadi sebahagian daripada filem mega arahan S.S. Rajamouli yang dinanti nanti, SSMB29, bergandingan dengan bintang besar seperti Mahesh Babu dan Priyanka Chopra.